Tudung FAREEDA anggun digayakan

Wanita bertudung masih boleh kelihatan anggun jika pandai memilih tudung, gaya dan aksesori.

Bahkan, corak dan gaya tudung sememangnya menampilkan perubahan yang begitu ketara bagi mengetengahkan lagi sifat kewanitaan pada si pemakai.

Bagi kebanyakan wanita, tudung bukan sekadar memakainya dan mengayakan kerongsang di atas bahu atau di bawah dagu. Ia memerlukan teknik supaya nampak bergaya.

Justeru itu, untuk tampil berbeza, tudung jenama FAREEDA bakal memberi ‘wajah baru’ kepada wanita kerana ia sesuai dan mudah digayakan sama ada untuk aktiviti kasual atau majlis rasmi.

Hasil kreativiti pemilik FAREEDA House of Scarf, Faridah Zakaria, setiap tudung ciptaannya bukan sahaja sebagai penutup aurat wanita tetapi turut menjadi penyeri kepada penampilan mereka.

‘‘Wanita perlu nampak berseri dan anggun walaupun bertudung. Justeru itu, saya turut menghiaskan tudung FAREEDA dengan hiasan seperti manik dan jahitan sulam yang pasti membuatkan tudung itu lebih elegan dan kontemporari bila dipakai.

‘‘Teknik pemakaiannya juga sungguh mudah. Pertama, pinkan tudung di bawah dagu, lilitkan bahagian kiri ke belakang, pinkan tudung di atas kepala, ambil turun tudung ke bahu kanan, selitkan bahagian itu, sebelah kanan letakkan di atas bahu kiri dan kemaskan tudung, siap untuk digayakan,’’ kata Faridah.

Terdapat enam jenis tudung FAREEDA iaitu sama ada kain kosong, kain bercorak, bermanik, bersulam, berbiku dan berlapis dua yang diperbuat daripada kain import dari Itali, Korea, Thailand dan Perancis. Jenis kain yang digunakan ialah seperti yokyo sifon, dope, dyed, opal dan organza.

Dari segi warna, hampir 32 warna yang boleh dipilih sama ada dari saiz S hinggalah ke XL.

Cara cuciannya cukup mudah, hanya rendam sekejap di dalam air, sudah boleh terus dijemur dan jangan sesekali memasukkan ke dalam mesin basuh kerana akan merosakkan kepala tudung.